Manusia Semut atau Lelaki Semut? Kupasan Trilogi Adiwira 'Ant-Man'

Injit-injit semut siapa sakit naik atas. 

Semut berkawad satu-satu hora, horey.

Ooops. Silap channel. 

Baru-baru ini, Pa mengajak kami untuk menonton filem bertajuk 'Ant-Man and The Wasp: Quantumania' di GSC IOI City mall, Putrajaya. Walaupun pernah menonton beberapa filem Marvel sebelum ini, ini adalah kali pertama kami menyaksikan filem berkisar tentang superhero/adiwira 'Ant-Man'. Nyata sekali, Ant-Man tidaklah terkenal seperti adiwira serangga tersohor iaitu 'SpiderMan' (Lelaki labah-labah?), tetapi kami masih tidak sabar untuk menonton filem ini. 

Seusai membeli bertih jagung dan kudapan ringan, kami mengambil tempat di dewan IMAX 3D dan setiap penonton telah diberikan sepasang cermin mata gelap untuk menikmati grafik filem 3D ini.  Apabila filem bermula, saya amat kaget dan kagum dengan grafik yang seolah-olah timbul di hadapan mata saya.

Ant-Man 3 ini menceritakan tentang pengembaraannya bersama-sama dengan Hank Pym (bapa mentua), Janet (ibu mentua), Hope (isterinya) dan Cassie (anak) ke alam kuantum (Quantum Realm) yang tidak dirancang. Apakah itu quantum realm? Di dalam ekosistem fiksyen Marvel, ia merupakan suatu alam yang menjangkaui konsep masa dan ruang. Di dalam filem ini, mereka telah mengecil kepada saiz kurang dari sebutir atom (subatomic) secara tidak sengaja dan telah tiba di sana. Dalam percubaan untuk kembali ke bumi yang nyata, mereka telah berhadapan dengan Kang, yang merupakan musuh utama di dalam siri filem marvel yang baru ini. Kemuncak filem ini menampilkan aksi yang menarik di mana Ant-Man telah membesar ke saiz gergasi, di dalam pertempuran  dengan Kang dan tenteranya. 

Setelah tamat filem itu, saya berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Ant-Man. Pa telah mengajak saya dan riq untuk menonton filem-filem Ant-Man yang terdahulu melalui disney hotstar. Scott Lang sebenarnya ialah seorang jurutera yang baru keluar dari penjara kerana telah menggodam sistem keselamatan sebuah syarikat gergasi. Melihat kelebihan yang dimiliki oleh Scott Lang, Hank Pym telah memilih beliau untuk menjadi Ant-Man. Di dalam kemuncak filem ini pula, aksi yang saya tidak dapat lupakan ketika pertempuran antara Ant-man dengan Yellowjacket ialah apabila sebuah mainan kereta api Thomas menjadi sebesar kereta api yang betul kerana sebutir alat pembesar zarah telah terkena Thomas secara tidak sengaja. 


Di dalam filem Ant-man kedua pula, beliau telah berhadapan dengan seorang musuh bernama Ghost. Di penghujung filem ini, ia serba sedikit menerangkan kemunculan Thanos dan kejayaannya memetik jari setelah mengumpul semua Infinity Stones, serta menunjukkan kenapa Scott Lang terselamat dari kesan petikan jari Thanos. 

Antara perkara yang saya fikirkan ialah tentang kegunaan sains dan teknologi. Kita dapat melihat di mana sains dan teknologi telah digunakan oleh Hank Pym dan Ant-man untuk menyelamatkan dunia. Pada masa yang sama, cabang ilmu ini juga telah digunakan untuk tujuan yang buruk oleh musuh Ant-man bagi mencapai tujuan seperti kerosakan dan kekayaan. Ini menunjukkan niat yang menentukan bagaimana kita hendak menggunakan sesuatu cabang ilmu.

Secara keseluruhan, saya amat terhibur dengan filem-filem ini walaupun ia mempunyai penghujung yang agak klise dimana adiwira akan menang juga akhirnya. Namun saya tidak teragak untuk mengajak anda semua menonton trilogi Ant-man ini kerana ia mempunyai aksi-aksi dan adegan-adegan pelbagai saiz yang berbeza dengan filem-filem Marvel yang lain.

Bye!

Comments

Popular Posts